Monday, March 8, 2010

Zihar : Amalan Masyarakat Jahiliah

Peristiwa zihar telah berlaku pada zaman Rasulullah saw. Dalam banyak riwayat disebutkan bahawa wanita itu bernama Khaulah binti Malik b. Tsa´labah telah diperlakukan secara ‘zihar’ oleh suaminya iaitu Aus ibn Shamit dengan mengatakan kepada isterinya: “Kamu bagiku seperti belakang/punggung ibuku” dengan maksud dia tidak boleh dan tidak akan menggauli isterinya kembali, sebagaimana ia tidak boleh menggauli ibunya. Menurut adat Jahiliyah pada waktu itu, ungkapan zihar secara hukum adalah sama dengan mentalak isteri. Setelah menyesal atas ucapannya, 'Aus mengajak isterinya bersetubuh tetapi ditolak oleh isterinya. Bagi menyelesaikan masalah yang berlaku, Khaulah telah mengajukan masalah tersebut kepada Rasulullah s.a.w untuk meminta kepastian hukum tentang perilaku suaminya tersebut. Rasulullah menjawab bahawa dalam hal persoalan ini belum ada keputusan daripada Allah swt sehingga Rasulullah mengatakan: “Engkau telah diharamkan bersetubuh dengan dia”. Khaulah kembali menyampaikan persaoalannya: “Suamiku belum mengeluarkan kata-kata talak”. Berulang kali Khaulah mendesak Rasulullah supaya menetapkan suatu keputusan hukum tentang persoalan yang dihadapinya. Maka turunlah ayat ini dan ayat-ayat berikutnya yang menjelaskan secara terperinci hukum yang berkaitan zihar (surah al-Mujadalah, 58;2).